Kenyataan Akhbar pelepasan 35,000 Injil Bahasa Melayu

Posted: January 16, 2015 in Berita Malaysia, fakta menarik
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Meskipun seorang anggota Kabinet menyifatkannya sebagai subjudis, Kementerian Dalam Negeri menegaskan kesemua 5,100 naskhah kitab Injil “Al Kitab Berita Baik” – dalam Bahasa Malaysia – yang ditahan di Pelabuhan Klang sejak Mac 2009 akan dilepaskan.

Ia akan dilepaskan dengan memenuhi dua syarat.

“Untuk makluman tuan (The Bible Society of Malaysia), Kementerian Dalam Negeri telah memutuskan bahawa 5,000 naskhah Al Kitab Berita Baik yang ditahan di Pelabuhan Klang, Selangor pada 20 Mac 2009 akan dilepaskan secara pentadbiran,” kata Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Datuk Zaitun Ab Samad dalam surat yang dialamatkan kepada The Bible Society of Malaysia.

Surat bertarikh 15 Mac (semalam) itu berkata pelepasan itu tertakluk kepada syarat diturunkan cap “Al Kitab Baik Ini Untuk Kegunaan Penganut Agama Kristian Sahaja” dan dicetak nombor siri pada setiap naskhah.

“Ya, saya boleh mengesahkan bahawa kami sudah mengeluarkan surat,” kata Zaitun ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa tindakan mengeluarkan naskhah-naskhah yang ditahan di Pelabuhan Klang sebagai subjudis memandangkan kes berkaitan dengan penggunaan kalimah “Allah” masih di peringkat rayuan di mahkamah.

Dalam laporan terdahulu, Nazri memberitahu The Malaysian Insider bahawa 5,100 naskhah yang dirampas di Pelabuhan Klang kekal tidak sah di bawah enakmen Islam Selangor.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memberitahu The Malaysian Insider bahawa 30,000 naskhah Al Kitab yang ditahan di Pelabuhan Kuching boleh dibawa keluar memandangkan tiada enakmen di Sarawak yang menghalang penggunaan perkataan “Allah” oleh kalangan bukan Islam dalam penerbitan mereka.

“Ini kerana di Selangor dan negeri-negeri lain di Semenanjung, selain Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, ada enakmen yang menghalang penggunaan perkataan Allah oleh bukan Islam,” kata beliau.

Sepuluh negeri kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan mempunyai Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) yang menghalang penggunaan kalimah “Allah” sama ada secara lisan ataupun bertulis.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Rengas berkata, tindakan membenarkan kitab-kitab Injil itu dibawa keluar dari Pelabuhan Klang akan dilihat sebagai subjudis kepada permohonan rayuan Peguam Negara berhubung kes penggunaan kalimah “Allah” oleh akhbar The Herald.

Rayuan itu dibuat awal tahun lalu.

“Oleh itu, ia tiada kesan ke atas Sarawak,” kata Nazri.

Semalam, pentadbiran Najib bersetuju membenarkan pengeluaran dan pengedaran secara terhad dan terkawal kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, yang ditahan di Pelabuhan Kuching Sarawak, dan Pelabuhan Klang, Selangor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dalam satu kenyataan berkata langkah kerajaan ini adalah selaras dengan warta 1982 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kitab itu mesti dicap dengan tag “Untuk Penganut Agama Kristian sahaja”.

“Sejak peruntukan undang-undang itu digunakan pada tahun 1982, tiada sebarang masalah atau isu yang timbul dengan pelaksanaannya,” katanya.

Selain itu, Idris berkata kajian teliti oleh Jabatan Peguam Negara juga mendapati pengeluaran kitab-kitab itu tidak akan mengangggu dalam prosiding mahkamah berkaitan penggunaan kalimah “Allah”.

“Oleh itu, dalam konteks berikut kerajaan telah dapat secara amnya mengeluarkan buku kitab Injil tersebut,” katanya.

sources : http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kitab-injil-bm-kdn-keluar-surat-pelepasan-dari-klang

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s