‘Orang dalam’ terlibat hilangkan barang bukti kes dadah

Posted: September 2, 2014 in Berita Malaysia, police

Diterbitkan: Rabu 24 Mei, 2006

KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan penglibatan “orang dalam” berhubung kehilangan bahan bukti dadah di stor pejabat Bahagian Narkotik Ibu pejabat polis Daerah Kota Baharu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar berkata siasatan dalaman dibuat memandangkan bahan bukti itu hilang ketika dalam kawalan simpanan polis.

“Kenalah siasat dari dalam dulu barulah kita siasat ke luar (aspek lain) sebab kita nak tahu bagaimana benda yang disimpan dalam stor boleh hilang. Tapi kita bukanlah menuduh sesiapa, sama ada anggota mahupun pegawai polis, cuma kita nak mengenal pasti siapa yang terbabit sebelum dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pertandingan menembak Aseanapol ketiga di sini hari ini.

Katanya laporan polis telah dibuat lebih awal sebelum ia didedah oleh akhbar hari ini. Bagaimanapun beliau enggan mengulas bila laporan polis itu dibuat.

Bakri berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kehilangan pelbagai jenis dadah bahan bukti penting bagi sembilan kes yang membabitkan lebih 1,000 pil kuda, heroin serta ubat batuk yang bernilai RM40,000.

Turut hilang ialah dokumen dan kertas siasatan kes rampasan dadah berkenaan.

Bakri yakin siasatan kes terbaru ini tidak akan mengambil masa yang lama seperti siasatan kes kehilangan kira-kira 60,000 pil psikotropik bahan bukti membabitkan seorang warga tua di Mahkamah Shah Alam pada 5 April tahun lepas.

“Bagilah masa yang secukupnya.. tapi pasti tidak akan ambil masa yang lama. Kalau dibuat dengan cepat tapi siasatan tidak lengkap dan tak cukup bukti untuk sabitkan tak guna juga,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Kelantan Datuk Zulkifli Abdullah selepas majlis yang sama berkata kehilangan bahan bukti itu telah dikesan lebih awal ketika pemeriksaan oleh bahagian audit di stor berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan bila kehilangan itu disedari.

“Ini hal dalaman, kita yang discover (temui) dulu hal ini dan kita akan mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit,” katanya.

Zulkifli berkata selepas laporan polis dibuat, siasatan terperinci dilakukan dan polis turut mengambil kenyataan daripada anggota dan pegawai bertugas semasa kehilangan barangan itu.

“Kita ambil kenyataan sajalah… tak perlulah tahu berapa ramai,” katanya ketika ditanya jumlah anggota dan pegawai yang telah disoal siasat.

Sementara itu Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharum berkata stor khusus akan dibina di semua kontinjen polis di seluruh negara bagi penyimpanan barang-barang bukti melalui peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

“Sekarang ini memang sudah ada stor penyimpanan barang bukti tapi tidak menyeluruh, ada yang lengkap dan ada yang belum dilengkapkan,” katanya kepada pemberita di tempat yang sama.

Pada pertandingan menembak itu, PDRM memenangi tempat kedua kategori berkumpulan VIP. Bakri turut menyertai pertandingan itu bersama dua anggota lain.

Tempat pertama dimenangi Polis Indonesia yang diketuai Ketua Polis Negaranya, Jeneral Drs Sutanto dan tempat ketiga dimenangi Pasukan Polis Singapura yang diketuai oleh Ketua Polis Negaranya Tan Sri Khoo Boon Hui. BERNAMA

 

 

sumber

http://www.mstar.com.my/artikel/?file=/2006/5/24/TERKINI/Mutakhir/Orang_dalam_terlibat_hilangkan_barang_bukti_kes_dadah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s