Archive for July, 2012

Saksi dakwa polis pijak wanita yang cedera
  • S Pathmawathy
  • 6:02PM Jul 11 2012
Seorang saksi mendakwa polis “memijak” seorang wanita yang berada di atas lantai dan menjerit kesakitan” di sebuah premis bank dalam satu insiden ketika perhimpunan BERSIH 3.0.

Bercakap dalam pendengaran awam oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia hari ini, saksi berkenaan mendakwa, tindakan itu menyebabkan wanita berkenaan mengalami kecederaan di tangannya.

Kejadian itu didakwa di premis bank dalam bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

S Kumar, 45, yang memberikan pertolongan kepada wanita berkenaan mendakwa, wanita tersebut tidak boleh bernafas ketika berada di atas lantai dan beliau memegang wanita itu dalam keadaan duduk.

Dakwanya, wanita yang tidak dikenali itu terjatuh ketika berada di luar bangunan dan dibawa masuk ke ruang yang menempatkan mesin teller automatik bank tersebut.

Dakwanya lagi, sekumpulan individu telahpun berlindung di dalam ruang berkenaan untuk mengelak daripada gas pemedih mata yang dilepaskan untuk menyuraikan kumpulan peserta perhimpunan di kawasan sekitar Dataran Merdeka.

Advertisements
  • Abdul Rahim Sabri
  • 6:13PM Jul 5 2012

Seorang pesara Baharudin Hashim mendakwa beliau ditendang dan dipukul oleh anggota polis yang menangkapnya sewaktu pasukan keselamatan itu menyuraikan peserta perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.

Saksi yang memberi keterangan di pendengaran awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia itu berkata, beliau pada waktu itu berada di Wisma Kraftangan, berdekatan Masjid Jamek di Jalan Tun Perak.

NONEKatanya, beliau melihat bahawa anggota polis yang menahannya itu memakai tanda nama tetapi tidak sempat membaca pengenalan diri tersebut.

“Mereka orang muda. Saya ada nampak tanda nama, tapi tak sempat nak baca… Mereka tangkap dengan mencekak kepala (saya).

“Selepas itu saya, rasa dipukul di kepala, ditendang dan diheret dari Wisma Kraftangan ke simpang (Tun Perak-Jalan TAR).

“Sepanjang jalan, ada polis, mereka tumpang sekaki… Saya rasa ditendang, dipukul di kepala, dipukul di belakang,” dakwanya.

Bercakap di pendengaran awam berhubung insiden kekerasan oleh pihak berkuasa semasa perhimpunan itu, Baharudin berkata beliau berulang kali merayu kepada polis supaya melepaskannya.

“Saya kata, ‘tolong lepaskan saya, saya sudah tua’. Saya kata berulang-ulang kali… Sampai di simpang saya ada dengar pegawai kata ‘lepaskanlah, dia sudah tua’. Selepas itu saya bebas, tidak ditahan lagi,” katanya.

Beliau mengalami lebam-lebam dan sengal-sengal badan akibat tindakan polis itu, katanya Baharudin.

Susulan itu, beliau membuat laporan polis berhubung insiden yang berlaku ke atas dirinya pada 4 Mei – hampir seminggu selepas kejadian tersebut, selepas peguam dari Lawyers for Liberty “memberi semangat” kepadanya untuk berbuat demikian.

Baharudin memberi keterangan kepada panel dianggotai Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee, Prof Emiretus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid dan Detta Samen.

  • Abdul Rahim Sabri
  • 4:41PM Jul 5 2012

Seorang pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Khairul Anuar Pawanchik berkata beliau tidak melihat kejadian yang menyebabkan seorang peserta perhimpunan mengalami kecederaan semasa BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.

Pegawai komunikasi dan simpanan PBSM itu berkata beliau melihat individu berkenaan telahpun dalam keadaan berdarah di satu lokasi di Jalan Tun Perak, ketika beliau selesai bertugas pada kira-kira jam 6.30 petang.

Khairul Anuar berkata, peserta perhimpunan berketurunan Cina itu mengalami kecederaan di bahagian telinga yang “nampak seolah-olah macam terhiris”.

“(Saya nampak) kecederaan yang dihadapi tetapi tidak nampak (bagaimana) kejadian itu (berlaku),” katanya dalam sidang pendengaran awam berhubung perhimpunan BERSIH 3.0 Duduk Bantah di ibu pejabat Suhakam petang ini.

‘Kawat duri untuk perang’

Saksi berkenaan berkata, kecederaan yang dilihatnya itu berbeza dengan kecederaan yang lazim dialami akibat digunting atau terjatuh.

Bekas anggota tentera itu beranggapan bahawa kecederaan itu mungkin disebabkan terkena kawat duri yang dipasang oleh polis.

Beliau berpendapat bahawa kawat duri yang dipasang oleh anggota keselamatan semasa perhimpunan itu membahayakan masyarakat awam dan tidak sesuai digunakan untuk mengawal orang ramai.

Bekas anggota tentera itu berkata kawat duri itu biasanya digunakan untuk pertahanan, perlindungan atau melengah-lengahkan musuh ketika zon perang.

“Ia digunakan pada waktu perang, di zon pembunuhan, (atau dipasang) pada dinding penjara tapi diletakkan ditempat tinggi,” katanya ketika menjawab soalan peguam pemerhati BERSIH 2.0 Daniel Albert.

Peguam cedera

Katanya lagi, beliau turut memberi rawatan kepada seorang peguam yang turut ditemuinya di lokasi terbabit.

“Saya nampak mukanya berdarah. Dia berkata kepada saya, ‘kenapa polis buat saya begini’. (Lalu) saya beri kepadanya dua helai sapu tangan untuk menutup pipinya yang luka,” katanya.

Beliau juga menunjukkan keratan akhbar daripada akhbar Suara Keadilan yang memuatkan gambar peguam, Haijan Omar.

Pada mulanya, beliau tidak mengetahui bahawa lelaki yang meminta pertolongannya itu merupakan seorang peguam.

Namun, beliau kemudiannya mengecam wajah peguam tersebut yang disiarkan akhbar berkenaan.

Khairul Anuar merupakan saksi ketiga yang memberi keterangan kepada panel dianggotai Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee, Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid dan Detta Samen.

Seramai 19 lagi saksi akan dipanggil dalam sidang pendengaran yang akan disambung semula pada 11 julai ini.

5:24PM Jul 5 2012
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli melihat siasatan terhadapnya – kerana mendedahkan dokumen projek sambungan LRT didakwa bernilai RM1 bilion – disebabkan kebimbangan perdana menteri terhadap kemungkinan dakwaan itu menggugat kedudukannya.

NONEKatanya, tindakan menubuhkan pasukan khas polis untuk menyiasat kebocoran maklumat itu, seperti dumumkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Bakri Zinin mengesahkan dokumen berkaitan asli.

“Kenyataan Bakri semalam mengesahkan dua perkara: Bahawa dokumen-dokumen Kementerian Kewangan termasuk minit yang ditandatangani oleh Najib dan dokumen lain berkaitan tender tersebut adalah benar dan asli.

“(Ia juga mengesahkan) bahawa Najib bimbang skandal ini bakal menggugat kedudukan beliau apabila maklumat mengenainya tersebar luas,” katanya.

Abdul Rahim Sabri
6:27PM Jul 5 2012

Seorang pesara Baharudin Hashim mendakwa beliau melihat anggota polis merampas kamera wartawan dan memberi amaran kepada petugas media yang cuba merakam gambar ketika pasukan itu menyuraikan perhimpunan BERSIH 3.0, 28 April lalu.

Baharudin memberitahu pendengaran awam oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini bahawa beliau melihat perkara itu ketika berada di Wisma Kraftangan, berdekatan Masjid Jamek di Jalan Tun Perak.

“Ada yang kena rampas (kamera), diambil, diberi amaran. ‘Kalau ambil juga kena rampas’,” dakwanya dalam sesi berkenaan.

Ketua panel siasatan tersebut, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee kemudian menyoalnya berhubung tindakan polis dan bagaimana beliau dapat mengenali wartawan berkenaan.

Baharudin seterusya menjawab: “Saya nampak ada kamera, ada tag sebagai wartawan… Saya nampak polis rampas kamera wartawan.”

Baharudin berkata kejadian itu berlaku selepas pukul enam petang di jalan tersebut.

Sebelum itu, Baharudin berkata pada mulanya, beliau ingin melihat-lihat barangan di sebuah gedung membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum bergerak ke Masjid Jamek untuk menunaikan solat Asar di masjid berkenaan.

Katanya lagi, beliau juga berada di lokasi berkenaan kerana “ingin tahu” perkembangan peserta BERSIH 3.0 kerana berlaku insiden “orang lari-lari macam ada kejar-keja” di dalam pusat membeli-belah berkenaan.

Baharudin memberi keterangan di pendengaran awam berhubung insiden kekerasan oleh pihak berkuasa semasa perhimpunan itu
di hadapan panel Suhakam dianggotai Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee, Prof Emiretus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid dan Detta Samen.