Kepala otak British

Posted: November 24, 2010 in Sejarah Malaysia

Oleh alexanderwathern

 Setelah lebih 400 tahun dinafikan kedaulatan oleh para penjajah Barat, tiba-tiba terbit satu sinar baru yang mungkin dapat menyuluh jalan ke arah mendapatkan kedaulatan kembali. Sinar harapan itu ialah tentera Jepun. Zaman itu orang-orang kampung malah orang-orang pekan kebanyakannya tidak tahu-menahu senario politik dunia.

Media tidak semudah dan secanggih hari ini. Yang memahami situasi dunia di negara ini hanyalah beberapa kerat saja. Antaranya ialah Ibrahim Yaakob (tak ada gelaran Tan Sri ke?) Dalam kemajuan media hari ini pun masih banyak umat Islam tanah air tidak ambil tahu permasalahan dunia Islam, apatah lagi pada zaman Perang Dunia ke-2 itu.

Banyak yang terkejut apabila mendapati para pejuang Moro di selatan Filipina berpakaian seragam tentera. Selama ini disangkanya pakai pakaian para petani seperti di Vietnam. Banyak yang tidak tahu di mana wilayah Caucasus dan terpinga-pinga apabila diberitahu banyak umat Islam di sana sedang menderita dibelasah kaum kafir musyrik.

Banyak yang tidak tahu wujudnya sebuah negara Islam bernama Turkistan Timur (Xin Jiang) di timur negara China tetapi dirampas daripada umat Islam, sementara umat Islam di tempat-tempat lain buat tidak tahu sahaja. Yang mereka tahu dan ambil sikit peduli hanyalah Palestin, Afghanistan, Iraq dan selatan Thai.

Itu pun sebab selalu masuk media. (* Sila kunjungi laman info nasib umat Islam sedunia di http://satuumat.greatnuke.com/ ) Jadi beberapa orang yang ada ilmu seperti Ibrahim Yaakob dan kawan-kawannya membikin rencana baru ke arah kemerdekaan.

Mereka menyatakan sokongan kepada tentera Jepun untuk menghalau Inggeris daripada Tanah Melayu. Percaturan mereka ada asasnya, bukan main hentam atas dasar semangat sahaja. Antaranya:

1. Barat menjajah lebih 400 tahun, tidak ada tanda-tanda Tanah Melayu bakal merdeka. Jepun? Belum pernah menjajah Tanah Melayu dan menjanjikan pengusiran penjajah dari Barat. Orang terdesak seperti kita akan pilih yang mana?

2. Barat sudah terbukti memusuhi Islam sejak era Perang Salib. Jepun? Belum pernah menzalimi penganut agama Islam. Bahkan kepulauan Ryukyu pernah mempunyai hubungan erat dengan kerajaan Melaka.

3. Jepun punyai rekod cemerlang sebagai kuasa Asia yang pertama menewaskan kuasa Barat iaitu Rusia.

Dikatakan 2 juta tentera Rusia digerakkan ke Manchuria untuk bertempur dengan Jepun tetapi jumlah sebesar itu tersungkur di kaki tentera Jepun. Karikatur sebelum perang bermula menggambarkan Rusia sebagai seekor beruang kutub yang besar sedang berhadapan dengan seorang samurai berpedang yang katik. Rupa-rupanya sang beruang kutub menjadi lapahan si samurai.

4. British adalah kuasa penjajah yang paling kuat membuli Tanah Melayu. Sungguhpun Portugis meruntuhkan kesultanan Melaka, tetapi jajahannya yang sebenar hanyalah Melaka.

Cuma Portugis giat melancarkan serangan ke negeri-negeri lain. Belanda pula banyak berkurung dalam kota. Inggeris? Seluruh Tanah Melayu di bawah ketiaknya. Orang-orang Melayu yang ada kesedaran memandang British penjajah paling jahat.

5. Perang antara Jepun dengan British tidak mustahil akan berakhir dengan ‘yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu’. Ketika inilah Tanah Melayu akan membebaskan diri.

Sebab itulah para pemikir ini sanggup bekerjasama dengan ejen-ejen perisik Jepun yang datang lebih awal ke Tanah Melayu yang kebanyakannya menjadi peniaga.

Propaganda Jepun disebarkan secara sulit-sulit kepada para penduduk. Ketika tentera Jepun mula mendarat dan menyerang, penduduk yang terpengaruh melahirkan rasa suka. Pernah menonton filem Leftenan Adnan? Pihak British membentuk pasukan askar Melayu.

Ketika tentera Jepun menyerang, pasukan ini turut sama bertempur mempertahankan. Mempertahankan apa? Mempertahankan kemerdekaan Tanah Melayu? Tentu tidak kerana kita sedang dijajah British! Apa yang dipertahankan?

Sebab itu kita tidak hairan dengan watak Faizal Hussein yang asyik mempertikaikan perjuangan mereka dalam filem itu. Antara katanya, “Kita tak patut terlibat dengan perang ni!” Watak ini sebenarnya menggambarkan pendirian banyak juga orang Melayu pada masa itu. Ini kerana mereka faham, pasukan itu sebenarnya sedang mempertahankan penjajahan British!

Jepun menang dan memerintah Tanah Melayu. Orang-orang bangsa Tiong Hua dikerasi kerana disyaki menyokong negara China dalam perang China-Jepun. Dengan penduduk bangsa Melayu, Jepun tidak ada masalah pada awalnya. Agenda Jepun juga asalnya tidak banyak beza dengan agenda penjajah Barat iaitu:

1. memerintah

2. membawa kemajuan terutamanya teknologi

3. memanipulasikan kekayaan Tanah Melayu untuk kepentingan negara Jepun Pada asanya sama saja dengan pentadbiran British, cuma bertukar pemerintah. Keuntungan dan kerugian orang Melayu sama saja seperti di bawah penjajahan Inggeris dulu.

Ibrahim Yaakob dan para pendokongnya tetap berasa puas hati walaupun keinginan melihat British dan Jepun sama-sama ‘angkat bungkus’ tidak kesampaian. Sekurang-kurangnya rundingan baru dengan penjajah baru boleh diusahakan ke arah kemerdekaan mutlak.

Penjajah 400 tahun yang sudah pasti zalim berjaya diusir sedangkan penjajah baru belum ada rekod lagi. Sinar merdeka mula menampakkan cahayanya. Malang sekali. Pentadbiran Jepun dikepung oleh Barat dari segenap penjuru. Ekonomi tidak boleh dijana. Sekatan demi sekatan di peringkat global dikenakan. Hasil bumi Tanah Melayu tidak dapat dipasarkan.

Bagaimana Jepun hendak memerintah? Dari mana sumber kewangan mereka? Bagaimana mereka hendak menjaga kebajikan penduduk? Pada zaman British sebelumnya, penjajah tidak mengalami sekatan ekonomi. Bolehlah digula-gulakannya rakyat dengan pembinaan kilang, jalan raya, sekolah, jabatan-jabatan, hospital dan lain-lain.

Itu pun kebanyakan rakyat tidak sedar yang kilang dibuat untuk mudahkan British memproses bahan mentah negara ini, jalan raya dibuat untuk mudahkan barang-barang itu diangkut ke bandar dan pelabuhan, pelabuhan dimajukan supaya mudah kapal-kapal British mengangkut kekayaan negara ini ke negara mereka.

‘Budak-budak’ British yang berbangsa Melayu dan beragama Islam mendakwa , “Kalau tuan Inggeris tak datang memerintah, tak majulah negeri kita ni. Nak buat jarum pun tak boleh, nak buat benda-benda besar yang macam Inggeris buat?” Kemiskinan tentera Jepun yang memerintah ketika itu membuatkan mereka terpaksa memeras penduduk. Maklumlah, mata wang ‘pokok pisang’ Jepun boleh dibuat tilam tetapi tiada nilai.

Harta penduduk dirampas. Kerahan tenaga (tanpa upah) terpaksa dilakukan. Kisah pembinaan ‘Landasan Kereta Api Maut’ memang menyayat hati. Timbullah kezaliman. Mereka ‘terpaksa’ zalim. Timbullah kisah tentera Jepun mausuk kampung dan melakukan huru-hara. Tapi ramai yang masih tidak tahu bahawa tentera bawahan Jepun sebenarnya banyak yang bukan bangsa Jepun.

Askar Jepun prinsipnya mahu memenangi hai rakyat, bukan memusuhi rakyat. Askar bawahan Jepun dari Manchuria, Korea dan Chinalah sebenarnya yang rajin buat porak peranda. Ditambah pula dengan orang tempatan yang menjadi polis Jepun dan para kempetai. Kadang-kadang jenis ini lebih besar kepala, macam dalam filem Sarjan Hassan. Pemikir-pemikir yang dulunya menyokong kehadiran tentera Jepun mula menentang balik. Ramai yang dipenjarakan.

Ramai juga yang masuk hutan menyusun gerakan bersenjata. Dulu Jepun menganggap mereka kawan, tetapi kini sebagai musuh ketat. Namun Jepun lebih baik daripada Belanda. Jepun berkhianat hanya setelah ditekan oleh Barat. Belanda pula sebaik sahaja berjaya menewaskan Portugis dengan kerjasama tentera Johor, terus saja berkhianat dengan menduduki A Famosa dan menghalau tentera Melayu.

Apa yang cuba disampaikan di sini ialah para pemikir ini tidaklah boleh kita label sebagai pengkhianat bangsa apabila mereka bersubahat dengan tentera Jepun pada awalnya. Bahkan mereka turut berjasa menentang pula pemerintahan tentera Jepun kemudiannya.

Tentera Jepun meletak senjata dan pulang kerana kalah di Jepun. Di Tanah Melayu? Jepun tidak pernah kalah dengan siapa-siapa. Sebaik-baik sahaja mereka melepaskan pemerintahan, sebenarnya Tanah Melayu sudahpun merdeka. British datang semula dengan propaganda yang jauh lebih hebat daripada propaganda Jepun.

Kemerdekaan kita dinafikan. Panjanglah lagi kisahnya sampailah tahun 1957. Satu perkara menarik yang tidak dicatat dalam buku sejarah tetapi ada pada orang-orang lama ialah cerita tentang Dato’ Onn Jaafar. Bukankah sepatutnya beliaulah orang yang melaungkan ‘Merdeka’ dan bukannya Tunku Abdul Rahman? Kononnya kemerdekaan tidak dilepaskan ke tangannya kerana beliau mahukan kemerdekaan mutlak ‘yang diberi’, bukannya kemerdekaan ‘yang diminta’.

Wallahualam.
Semoga para pejuang mengkaji semula riwayat ‘penyingkiran’ Dato’ Onn itu.

alexanderwathern
http://myalexanderwathern.freephpnuke.org

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s