60,000 pil psikotropik yang menjadi bahan bukti perbicaraan satu kes dadah, hilang daripada simpanan.

Posted: October 7, 2010 in Uncategorized

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan menjalankan siasatan terperinci bagi mencari jawapan kenapa kira-kira 60,000 pil psikotropik yang menjadi bahan bukti perbicaraan satu kes dadah, hilang daripada simpanan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar sudah mengarahkan pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menjalankan siasatan segera, manakala satu laporan polis dibuat berhubung kehilangan bahan bukti itu.

Siasatan itu diketuai seorang pegawai penyiasat berpangkat Asisten Superintendan (ASP).

Beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pegawainya dan akan mendapatkan penjelasan mengenai kehilangan barang bukti itu daripada IPK berkenaan.

“Kehilangan itu sesuatu yang memalukan. Kita hairan bagaimana bahan bukti yang disimpan di tempat yang selamat boleh hilang. Saya sudah mengarahkan siasatan rapi dijalankan,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Perbicaraan satu kes pengedaran dadah di Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin kecoh berikutan kehilangan kira-kira 60,000 pil psikotropik yang menjadi bahan bukti kes itu.

Kehilangan pil eramin itu, disedari pada hari kedua perbicaraan apabila seorang pegawai Jabatan Kimia, Zurina Ramli diarah membuka satu daripada tiga kotak mengandungi bahan bukti berkenaan.

Perbicaraan kes itu membabitkan tertuduh, Tua Bit, 61, yang menghadapi dua tuduhan mengedar pil berkenaan pada 2002.

Mohd Bakri berkata, beliau juga sudah mengarahkan seorang pegawai di Jabatan Narkotik Bukit Aman untuk memantau perkembangan siasatan itu. “Pegawai berkenaan akan melaporkan perkembangan siasatan kes itu terus kepada saya dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar, yang terkejut dengan insiden itu, mahu tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Saya amat kecewa dengan apa yang berlaku dan berharap polis segera menjalankan siasatan terperinci bagi mengenalpasti bagaimana bahan bukti itu boleh lesap dan siapa yang bertanggungjawab.

“Saya harap kes ini dapat diselesaikan segera. Kerajaan memandang serius kes ini lebih-lebih lagi ketika kita berhempas pulas menangani masalah pengedaran dan penyalahgunaan dadah sekarang,” katanya kepada Berita Harian.

Noh berkata, dadah itu tidak sepatutnya hilang kerana mengikut prosedur, bahan bukti kes mahkamah perlu disimpan dalam stor khas dan hanya pegawai atau anggota polis tertentu mempunyai akses.

Beliau bimbang kehilangan bahan bukti lebih-lebih lagi dalam kuantiti yang banyak itu akan menjejaskan kredibiliti polis dan Jabatan Kimia yang mengendalikan kes itu.

Selain itu, katanya, kehilangan bahan bukti dikhuatiri akan digunakan oleh peguam bela tertuduh dalam penghujahannya sehingga menyebabkan tertuduh dibebaskan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Yahya Udin ketika dihubungi mengesahkan satu laporan polis dibuat oleh pegawainya berhubung kehilangan bahan bukti itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes sedang disiasat.

Difahamkan, siasatan dalaman kes itu sudah dimulakan dengan menyoal siasat beberapa anggota dan pegawai yang mempunyai akses ke dalam stor bahan bukti itu.

Pasukan penyiasat juga dikatakan sedang menyemak buku log yang merekodkan jadual bertugas anggota dan pegawai yang mempunyai akses terhadap stor berkenaan.

Sementara itu, Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Noor Hakim Kassim ketika dihubungi berkata, walaupun kes rampasan dadah itu berlaku di Kajang, polis daerah itu hanya menyimpan bahan bukti itu selama beberapa bulan saja, sebelum dipindahkan ke stor menyimpan bahan bukti di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s