Inside Kaabah

Posted: October 6, 2010 in Uncategorized

kunci kaabah ni kan?

Ukuran Kaabah

Tinggi: 14 meter. Panjang di sudut Multazam (Hajarulaswad – Rukun Iraqi): 12:84 meter. Panjang di sudut Hijr ismail (Rukun Iraqi – Rukun Syami): 11.28 meter. Panjang diantara Rukun Syami dan Rukun Yamani: 12:11 meter. Di mana Rukun Yamani dan Hajarulaswad: 11:52 meter.

Pintu Kaabah

Kedudukan pintu kaabah sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Pada zaman Nabi Ibrahim a.s. baginda telah membuat dua pintu Kaabah. Pintu tersebut terletak rapat di atas tanah. Satu digunakan untuk masuk dan satu lagi untuk keluar. Pintu masuk dari arah timur dan pintu keluar dari arah barat. Dua pintu ini berupa lubang masuk tanpa daun pintu.

Kemudian Raja Tubba’ 3 yang bernama As’ad telah memasang pintu yang berdaun dua pada Kaabah.

Setelah Quraisy membina Kaabah mereka telah mengankat pintu Kaabah dari aras tanah dan menutup pintu sebelah barat.

Pintu yang ada pada hari ini terletak dua meter tinggi dari aras tanah, disaluti emas dan perak. Dibuat pada tahun 1399H. Menelan belanja sebanyak 13,420,000 Riyal Saudi dan emaqs sebanyak 280 kg.

Pintunya akan dibuka untuk membasuh bahagian dalam Kaabah. Satu tangga khas akan dibawa untuk menaikinya. Bahagian dalamnya akan dibasuh dengan air zamzam oleh Khadimul Haramain atau wakilnya dan lain-lain orang kenamaan. Dindingnya akan dibasuh dengan penyapu khas yang dibuat daripada daun tamar, kemudian akan direnjis dengan wangi-wangian. Begitu juga pintu ini akan dibuka jika ada tetamu negara yang ingin memasuki Kaabah.

Tiang Kaabah

Sewaktu Quraisy membina Kaabah, mereka telah menutupnya dengan atap, disokong dengan enam batang tiang dalam dua baris, setiap baris mempunyai tiga batang tiang.

Selepas itu sewaktu pembinaan Ibn al-Zubair, beliau telah menjadikan tiga batang tiang daripada kayu untuk menongkat atapnya. Jarak di antara satu tiang dengan yang lainnya ialah 2.35 meter. Di sebelah kanan pintu pula disediakan tangga untuk naik ke sutuh (atap) Kaabah.

Zaman Nabi Muhammad s.a.w., di dalam Kaabah ada terdapat enam tiang yang dibina oleh Kaum Quraisy, tiang itu diguna untuk menyokong bumbungnya. Dua tiang sebelah kiri, satu tiang di sebelah kanan dan tiga tiang di sebelah belakang. Tiang-tiang itu adalah tiang kayu.

Selepas pembinaan yang dilakukan Sultan Murad
, cuma terdapat tiga batang tiang kayu. Tiang-tiang itu terletak di bahagian tengah Kaabah, setiap satu batang bergaris pusat lebih kurang 1.5 meter. Berwarna merah kekuningan. Satu daripada tiang itu berbentuk bulat dan dua lagi berbentuk empat persegi.

Sekitar tahun 1304 Hijrah (tahun 1884) tiang-tiang dalam Kaabah itu menjadi reput, dalam tahun 1314 Hijrah (tahun 1894) ia telah diperkuatkan dengan dibuat lengkungan kayu seperti bola di bahagian bawah setiap tiang itu yang terletak lebih kurang 1.5 meter dari lantai Kaabah. Antara tiga tiang dalam Kaabah itu jarak di antara satu sama lain ialah 2.35 meter.

Terdapat sebuah tangga kayu yang dibina di dalam Kaabah untuk menuju ke bumbung Kaabah. Di tangga itu telah dipasang dengan tirai kain sutera hitam yang dihiasi emas dan perak. Lantai dalam Kaabah dipasang marmah putih dan marmar merah. Dinding Kaabah juga dipasang marmar berwarna dan dihiasi dengan tulisan khat.

Dalam Kaabah juga terdapat tirai sutera merah putih yang tertulis kalimah syahadah. Terdapat banyak lagi perkataan yang ditulis, tirai itu digunakan untuk menutup bahagian dalam bumbung Kaabah dan empat penjuru bahagian dalam dinding Kaabah.

Oleh kerana tirai itu dibuat semasa pemerintahan Sultan Abdul Aziz Khan iaitu dalam tahun 1209 H (tahun 1789) maka dalam usia yang terlalu lama itu, warnanya menjadi seperti hijau dan kelabu.

Ada pelbagai jenis lampu berwarna-warni yang diletakkan di antara tiga tiang Kaabah. Lampu-lampu itu adalah hadiah-hadiah yang diberikan orang untuk Kaabah semenjak berkurun-kurun lagi. Terdapat sepasang kayu papan yang diletakkan pada dinding Kaabah, kayu itu berasal dari bahtera Nabi Noh. Terdapat sekeping marmar merah empat segi di sebelah sudut utara dalam Kaabah.

Antara barangan lain yang terdapat dalam Kaabah ialah barang tinggalan sejarah yang diletakkan di penjuru Iraqi, antara barangan itu termasuklah sepasang subang dipercayai kepunyaan Siti Maryam dan satu tanduk kibas.

Menurut kata Dr Muzammil Siddiqi [1] yang berpeluang masuk ke dalam Kaabah pada tahun 1998; Di dalam Kaabah ada: 3 tiang, antara tiga tiang dalam Kaabah itu jarak di antara satu sama lain ialah 2.35 meter. Terdapat sebuah meja di tepi untuk letak benda seperti minyak wangi; ada 2 lampu seperti pelita tergantung dari siling; ruangnya boleh memuatkan lebih kurang 50 orang, tiada lampu elektrik iaitu tidak ada system pencahayaan elektrik, dinding dan lantainya daripada marmar kecuali ada sebuah bahagian yang dinamai “Rukhamat Humra”, tiada tingkap, satu pintu, dinding sebelah atas diliputi kain yang ada kalimah di atasnya. Bahagian atas dinding ditutup dengan kain warna hijau dihiasi dengan tulisan ayat al-Quran dengan tinta emas.
Al-Hatim

Ulama berselisih pendapat dalam menentukan kedudukan al-Hatim.

Pertama: Tempatnya ialah di antara Hajarulaswad, Hijr ismail, telaga zamzam dan Maqam Ibrahim.

Kata Ibn Juraij: “Sebab dinamakan al-Hatim (pecah, rosak) kerana orang jahiliah bersumpah di tempat itu dan diperkenankan doa orang yang dizalimi. Ramai orang yang dizalimi berdoa di tempat tersebut dan didapati si zalim akan binasa. Demikian juga orang yang bersumpah dusta akan ditimpa bencana.

Oleh itu, ia menjadi penghalang kepada berlakunya kezaliman dan juga sumpah dusta hinggalah dating Islam.

Dinamakan sedemikian juga kerana orang bersesak-sesak berdoa di tempat itu.

Kedua: Al-Hatim ialah Hijr Ismail.

Pendapat ini diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. Sebab dinamakan al-Hatim ialah kerana tempat ini diruntuhkan daripada Kaabah. Kaabah telah dibina tinggi oleh orang Quraisy dan Hijr Ismail dikeluarkan daripadanya. Dinamakan sedemikian juga kerana orang Arab meninggalkan pakaian mereka di tempat ini sewaktu mereka hendak melakukan tawaf dan ia dibiarkan hingga rosak.

Ketiga: Dinding yang melingkungi Hijr.

Keempat: Al-Hatim ialah al-Multazam.

Kelima: Di bawah Mizab (saluran emas).

Keenam: Syazarwan.

Pendapat pertama dan kedua adalah yang masyhur di kalangan ulama. Wallu a’lam.

Al-Multazam

Tempatnya ialah di antara Hajarulaswas dan pintu Kaabah.

Jaraknya ialah 2 meter.

Kata Sayidina Abdullah bin Abbas r.a.: “Al-Multazam terletak di antara Rukun Hajarulaswad dan pintu kaabah.”

Multazam ialah salah satu tempat yang diperkenankan doa dan disunatkan berdoa serta diletakkan pipi, dada dan lengan serta dua tapak tangan di Multazam.

Seorang sahabat nabi s.a.w., Abdullah bin ‘Amar r.a. melakukan tawaf di Kaabah kemudian beliau melakukan solat dan selepas itu mengucup Hajarulaswad. Kemudian beliau berdiri di antara Rukun Hajarulaswad dan pintu, dengan meletakkan dada, muka, dua lengan serta dua tapak tangannya di Kaabah. Beliau berkata: “Demikianlah kau melihat Rasulullah s.a.w. melakukannya.”

Mizab

Ia merupakan saluran untuk air keluar daripada bumbung Kaabah. Mizab pertama kali dibina oleh Quraisy sewaktu membina atap Kaabah. Mizab ini disalut dengan emas. Sebagaimana yang disebut, tempat ini juga merupakan tempat mustajab doa, wallahu a’lam.

Syazarwan

Lafaz ini berasal daripada bahasa Parsi, yang bererti binaan yang melingkungi mata air.

Yang dimaksudkan di sini ialah binaan yang berbentuk melengkung di bahagian bawah dinding Kaabah sampai ke lantai. Binaan ini dibuat di tiga penjuru Kaabah, tidak termasuk penjuru Hijr ismail kerana ia merupakan binaan asal daripada Kaabah. Tingginya daripada lantai lebih kurang 13 sentimeter, lebarnya pula 45 sentimeter.

Syazarwan berasal daripada dinding Kaabah ketika ia dibina menurut binaan Nabi Ibrahim a.s. Apabila Quraisy kekurangan belanja mereka telah mengurangkan keluasan asas dinding Kaabah bermula dari tapaknya di atas tanah.

Ada pendapat lain mengatakan bahawa Abdullah bin al-Zubair r.a. membinanya untuk melindungi dinding Kaabahdaripada diresapi air ke dalamnya, untuk mengikat kelambu Kaabah (kiswah) padanya serta untuk menjauhkan orang yang tawaf daripada menyentuh kiswah dan dinding Kaabah.

Ulama telah berselisih pendapat (khilaf) iaitu adakah Syazarwan termasuk dalam binaan Kaabah ataupun tidak? Jiak ia dianggap sebvagai sebahagian binaan Kaabah, maka tawaf yang dilakukan di atasnya adalah tidak sah. Demikian juga jika meletakkan tangan atau kaki di atasnya sewaktu melakukan tawaf, maka tawafnya tidak sah.

Para ulama daripada mazhab Syafi’i, Maliki dan Hanbali r.hm. mengatakan bahawa Syazarwan termasuk dalam binaan Kaabah, maka tidak boleh meletakkan tangan atau memijaknya ketika melakukan tawaf. Sesiapa yang melakukannya maka tawafnya adalah tidah sah.

Manakala ulama daripada mazhab Hanafi mengatakan bahawa Syazarwan tidak termasuk dalam binaan Kaabah, namun melakukan tawaf di luar daripadanya adalah lebih baik untuk mengelakkan daripada khilaf ulama.

Pendapat kedua ini dipersetujui oleh Syeikh ‘Izuddin Ibn Jama’ah daripada ulama al-Syafi’iyyah dan Syeikh Ibn Taimiyah. Wallahu a’lam.

Kiswah (Kelambu Kaabah)

Kiswah ialah kain hitam atau kelambu yang menutupi empat dinding Kaabah. Telah diriwayatkan bahawa orang yang pertama membuat kiswah ialah Bani Ismail a.s. Ada yang mengatakan bahawa Tubba’ al-Himyari, iaitu raja Yaman yang bernama As’ad, pada seribu tahun sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi rasul.

Kemudian amalan menutup Kaabah dengan kiswah berterusan hingga sampai pada zaman Islam, ketika zaman Rasulullah s.a.w. serta khalifah selepasnya dan sampai pada zaman kita pada masa ini.

Sebelum ini, kelambu Kaabah diperbuat di pelbagai tempat seperti di mesir, Yaman dan tempat-tempat lain mengikut masa dan sejarah pada waktu itu.

Pada masa sekarang, kiswah ini dibuat di sebuah kilang khas di Makkah. Ia mula dibuat di kilang ini pada tahun 1346H sehingga 1357H. Kemudian ia terhenti seketika dan kelambu Kaabah dibuat di Mesir.

Pada tahun 1382H ia dibuka kembali sehingga terbinanya kilang baru pada hari Sabtu 7 Rabiul Awwal 1397H bersamaan dengan 26 Mac 1977 di tempatnya hari ini iaitu di Ummul Jud.

Semejak itu, setiap tahun ia ditukar pada pagi 9 Zulhijjah iaitu pada hari wukuf.

Kiswah ini diperbuat daripada sutera asli halus. Bahan mentahnya diimport dari luar. Kemudian ia ditenun di kiliang ini. Sehelai kelambu memerlukan sebanyak 670 kg sutera mentah untul memprosesnya. Setelah ditenun, ukuran panjang kain kiswah ini ialah 658 m persegi.

Perbelanjaan keseluruhan untuk menyiapkan satu kelambu Kaabah ini ialah sekitar 17 juta Riyal Saudi, termasuklah kos bahan mentah dan gaji para pekerjanya.

Di kilang ini tulisan-tulisan khat ayat al-Quran di kaabah juga dibuat sebagai hadiah Khadimul Haramain kepada tetamu-tetamu kerajaan. Bendera Negara Arab Saudi turut dibuat di sini untuk kegunaan rasmi.

Kunci Kaabah

Pada awalnya al-Sadanah dan al-Hijabah iaitu kuasa menjaga member khidmat, membuka dan menutup Kaabah berada di tangan Nabi Ismail a.s., kemudian ia dikuasai oleh anak-anaknya, kemudian bapa saudaranya Jurhum dan kemuidan bani Khuza’ah.

Kemudian ia dikuasai olah Qusai bin Kilab iaitu datuk Nabi s.a.w. yang keempat dan seterusnya oleh ‘Abd al-Dar bin Qusai. Selepas itu, berlaku perebutan antara Quraisy untuk menguasainya. Akhirnya kunci Kaabah berada di tangan Usman bin Thalhah bin Abi Thalhah (nama sebenarnya Abdullah bin Abdul ‘Uzza bin Usman bin ‘Abd al-Dar bin Qusai).

Selepas pembukaan kota Makkah pada tahun 8H Rasulullah s.a.w. telah meminta kincu Kaabah daripa Usman bin Thalhah. Baginda membuka serta memasuki Kaabah. Setelah keluar daripadanya, Rasullah s.a.w. membaca ayat yang *bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu meyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya… “ (Surah al-Nisa’:58)

Baginda memanggil Usman bin Thalhah dan menyerahkan kunci Kaabah kepadanya sambil bersabda yang *bermaksud: “Ambillah kunci ini wahai Bani Thalhah dan ia akan kekal selama-lamanya di tangan kamu, tidak ada orang yang mengambilnya daripada kamu kecuali orang zalim.”

Menurut Ibn Kathir ramai ulama tafsir mengatakan bahawa ayat ini telah diturunkan kepada Usman bin Thalhah. Oleh itu Rasulullah s.a.w. menyerahkan kunci tersebut kepadanya.

Selepas kewafatan Usman pada tahun 42H, beliau tidak mempunyai anak, lalu kunci Kaabah itu telah diberikan kepada sepupunya iaitu Syaibah bin Usman bin Abi Thalhah. Kemudian anak-anak Syaibah mewarisinya secara turn-temurun sehingga sekarang. Mereka ini dikenali dengan nama “al-Syaibiyyin”.

Sebagaimana yang tersebut dalam hadis: “Kekal selama-lamanya di tangan kamu” menunjukkan bahawa keturunan Abu Thalhah akan kekal sehingga hari kiamat dan penjagaan Kaabah berada dalam tangan mereka. Ini merupakan mukjizat Rasullah s.a.w.

Kunci kaabah panjangnya 40 sentimeter. Ia disimpan di dalam beg yang dibuat daripada sutera yang bersalut emas yang dibuat di kilang kiswah di Makkah.

Muzium al-Haramian

Kerajaan Arab Saudi telah membina sebuah muzium yang dikenali dengan nama: Mathaf al-haramain al-Syarifain. Ia mula dibuka pada 25 Oktober 1420H, terletak bersebelahan dengan kilang Kiswah Kaabah.

Di muzium ini tersimpan barang-barang lama yang berada di dalam Kaabah, seperti pintu, kunci serta tiang Kaabah yang dibina pada tahun 65H dan lain-lainnya.

Khadam Kaabah (Aghawat)

Mu’awiyah bin Abi Sufyan r.a. ialah orang pertama yang melantik golongan hamba untuk berkhidmat dimasjidilharam, kemudian diikuti oleh khalifah dan selepasnya.

Kemudian jawatan tersebut bertukar kepada golongan lelaki yang “dikasi kemaluannya”. Alat kelamin mereka telah dimatikan semasa kecil pada ketika mereka tidak mengetahui apa-apa. Mereka ini dijadikan sebagai khadam yang berkhidmat di Masjidilharam dan di Masjid Nabawi.

Golongan ini dikenali dengan nama “Agha” ertinya lelaki yang mempunyai kemewahan dan kuasa, kerana mereka berkuasa di Masjidilharam. Dan dikenali dalam kalangan orang melayu di Makkah dengan nama “Sepotong”.

Mereka mempunyai jawatan dan pangkat. Biasanya orang lama akan menjadi ketua. Mereka memakai pakaian khas, iaitu jubah dengan kopiah keras serta memakai bengkung di pinggang. Golongan ini sudah semakin pupus sekarang. Kebanyakkan tugas mereka telah digantikan dengan petugas yang berkhidmat dengan syarikat Ladin atai lain-lainnya.

Kemusnahan Kaabah pada akhir zaman

Terdapat hadis Rasulullah s.a.a. yang mengesahkan bahawa Kaabah akan dimusnahkan pada akhir zaman nanti.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasullah s.a.w. telah bersaba yang *bermaksud: “Kaabah akan dimusnahkan oleh ‘Zul al-Suwaiqatain’ (lelaki yang berkaki kurus) dari Habsyah (Ethopia)”

Juga diriwayatkan bahawa Ali r.a. berkata yang *bermaksud: “Lakukanlah tawaf dirumah ini (Kaabah) ini sebanyak mungkin sebelum kamu dihalang daripada melakukannya. Seolah-olah aku dapat melihatnya (seorang lelaki dari Habsyah) dengan kepala dan telinga yang kecil, menghancurkannya (Kaabah) dengan cangkulnya.”

Manakala diriwayatkan olen Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang *bermaksud: “Seolah-olah aku dapat melihatnya, hitam dan berkaki pengkar (tempang), dia meruntuhkan batunya (Kaabah) satu demi satu.”

Sa’id bin Sam’an berkata bahawa dia mendengar Abu Hurairah r.a. memberitahu Abu Qatadah r.a. bahawa dia telahmendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang *bermaksud: “ Sumpah taat setia akan dilakukan kepada seorang lelaki di antara Rukun dan Maqam, dan tidak ada seorang pun yang akan melanggar kesucian Rumah ini kecuali kaumnya sendiri. Apabila mereka melanggarinya, jangan dipersoalkan lagi akan kemusnahan kaum Arab. Kemudian dating kaum Habsyah yang akan memusnahkan sama seklai sehingga ia tidak mungkin akan dapat dibina kembali dan merekalah yang akan mengeluarkan harta perbendaharaannya.”

Hadis-hadis ini tidak pula bercanggah dengan hadis Aishah r.ha., sabda Rasullah s.a.w. yang *bermaksud:“Satu pasukan tentera akan menyerang Kaabah dan apabila mereka tiba di satu kawasan lapang, bumi akan menelan mereka semua, daripada yang pertama dan yang terakhir.”

Al-Hafiz ibn Hajar r.hm. berkata: “Ini menjelaskan bahawa akan berlaku beberapa serangan ke atas Kaabah. Pada suatu masa Allah s.w.t. akan musnahkan mereka sebelum mereka sampai kepadanya. Ada kalanya Allah s.w.t. membiarkan mereka melakukannya. Apa yang jelas daripada hadis bahawa peristiwa meruntuhkan Kaabah ini berlaku mtakhir daripada hadis mereka ditelan oleh bumi.” Wallhu a’lam.

Perigi Harta Dalam Kaabah

Mengikut kajian dari Muhammad al-Azraqi, ada terdapat sebuah perigi tersangat dalam di dalam Kaabah yang digali oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. Perigi itu terletak di sebelah kanan Kaabah. Di dalam perigi itu telah dimasukkan emas, perak dan permata yang dihadiahkan orang kepada Kaabah dalam jumlah yang agak banyak. Perigi tersebut kini berada di bawah lantai marmar bahagian dalam Kaabah.

http://syahirul.com/sejarah-penciptaan-kaabah/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s