petikan artikel tentang emas

Posted: October 15, 2010 in Uncategorized

Dua artikel untuk renungan bersama, tentang sistem ekonomi Islam yang lebih adil


Wang Emas Elak Manipulasi

Abu Zuhri Shin. Utusan Malaysia: Forum (18/07/1998)

Saudara Pengarang,

Merujuk kepada Lidah Pengarang Utusan Malaysia bertarikh 12 Jun 1998 bertajuk: Ringgit: Mencari Alternatif, saya menyokong penuh cadangan supaya kerajaan mengkaji penggunaan wang emas serta pertukaran barangan (barter) untuk mengurangkan pergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS).

Ini juga sejajar dengan seruan Mufti Mesir, Dr. Nasir Farid Wasil agar semua negara Islam menggunakan wang emas yang tidak boleh dimanipulasi oleh para spekulator Barat sebagai perantaraan dan perdagangan negara-negara Islam (Utusan Malaysia, 4 Jun 1998).

Sebenarnya, wang bersandarkan ukuran atau simpanan emas (gold standard) pernah dipakai oleh dunia sehingga tahun 1971 berdasarkan Perjanjian Bretton Woods 1944. Presiden Nixon telah memansuhkan sandaran wang dolar AS kepada emas kerana ekonomi AS yang teruk akibat defisit dan kos Perang Vietnam. Selepas itu, semua negara telah memakai sistem kewangan terapung (floating exchange) di mana setiap negara boelh mencetak wang, membuat kredit atau hutang negara membuat dasar kewangannya sendiri ettapi nilainya ditentukan oleh pasaran bebas.

Semua ini berdasarkan penerimaan dunia kepada beberapa jenis alat (instruments) kertas yang berupa wang tambahan (derivatif) yang mungkin wujud atas akaun komputer atau akaun bank sahaja atau akaun saham sahaja. Ia bukan wang sebenar seperti wang emas dan perak.

Kita menyaksikan dunia Barat mengalami beberapa krisis dan keruntuhan ekonomi yang merudum iaitu The Great Depression 1929, The Black October 1987 dan Krisis Asia 1997/98. Dalam semua krisis ini, pihak yang untung adalah bank-bank mega antarabangsa dan dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang memberi bantuan pakej kredit dan hutang kepada negara-negara mangsa. Dengan syarat, ekonomi mereka dibuka kepada kapitalis antarabangsa dan sistem kewangannegara-negara mangsa boleh ditembusi oleh modal kapitalis antarabangsa.

Ini berupa penjajahan baru yang disebut oleh datuk Seri Dr. mahathir Mohamad dalam syarahan di Tokyo baru-baru ini. Lebih teruk lagi, para pemodal mempunyai agenda menggulingkan pemimpin-pemimpin yang mereka tidak sukai dengan tohmahan ekonomi negara-negara mangsa disalah-urus.

Nampak mustahil

Sebenarnya, ekonomi Asia adalah kukuh tetapi pergantungan kepada dolar AS menyebabkan perdagangan sebenar dikacau oleh turun naik mata wang akibat spekulasi yang berbilion-bilion ringgit di bursa pasaran tukaran wang antarabangsa.

Walaupun pada permulaannya, penggunaan semula wang emas nampak mustahil dan sukar diterima oleh fikiran moden tetapi di AS sendiri terdapat kumpulan dan penyokong sistem wang emas sepertiSwiss America, The Dines Group dan The Gold Eagle. Malah Presiden Reagan pada 1981 pernah menubuhkan the Gold Task Force bagi mengkaji penggunaan wang emas ketika dolar AS mengalami kejatuhan teruk dan kemelesetan ekonomi.

Kejatuhan empayar Otmaniah Turki pada awal 1900-an juga berpunca dari penggunaan wang kertas bagi menggantikan dinar emas akibat kerajaannya beerhutang dengan pemodal-pemodal elit Yahudi seperti Rothschild, Morgan dan bank-bank British dan Perancis.

Pembaca perlu tahu, walaupun Amerika menggunakan wang kertas teteapi pihak kerajaan dan bank swastanya telah menyimpan hampir 17 juta tan metrik emas di new York dan Fort Knox sejak 1971 yang merupakan 70 perats daripada simpanan emas dunia.

Kita bertanya eknapa simpanan emas ini tidak pernah beredar atau digunakan dalam perdagangan dunia. Apa guna emas tersebut disimpan tanpa mendatangkan sebarang hasil malah kehilangan bunga sehingga AS$5 bilion setahun jika ia dalam bentuk wang kertas.

Tentu ada rahsia pihak AS dan bank mega menjadikan simpanan emas ini senjata sulit mereka di masa depan jika wang AS tidak dipercayai oleh dunia lagi.

Jika semua negara mahukan wang emas dalam perdagangan masing-masing, pasti emas ini akan keluar dari simpanan AS untuk dijadikan wang antarabangsa bagi menggantikan 60 peratus perdagangan dunia yang menggunakan dolar AS.

Dalam sejarah Islam, sejak zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a., wang dinar emas dan dirham perak telah ditetapkan berat dan ketulenannya menjadi wang antarabangsa umat Islam seluruh dunia dan diterima negara-negara bukan Islam dalam perdagangan antarabangsa sehingga wang kertas dicipta dan dipaksa pakai oleh penjajah Barat.

Inilah rahsianya kuasa Barat yang didalangi oleh pemodal mega Yahudi melalui bank-bank antarabangsa menguasai ekonomi dunia hari ini. Mereka berjaya menetapkan agendanya sehingga runtuh empayar Soviet Union, mengikat Iran dan menghancurkan ekonomi Iraq serta Libya dan Kuwait. Kini giliran Indonesia dan Malaysia. Adakah ini satu kebetulan?

Kerajaan Islam pimpinan Dr. Erbakan di Turki juga jatuh apabila mahu menjadikan wang emas sebagai agenda pembaharuan Turki.

Kini tinggal negara Sudan dalam peringkat awal memeprkenalkan sistem kewangan berdasarkan simpanan emas.

Hari ini di Sudan, para peniaga dan bank mereka tidak mahu menerima kad kredit Visa atau American Express atau pu dolar AS. Ini satu kemenangan moral dan permulaan yang mengagumkan.

Kehancuran sistem

Pasti Allah memberi kemenangan dan memudahkan wang syariat Islam diamalkan semula. Ini merupakan permulaan kepada penolakan serta kehancuran sistem wang kertas dan riba di alaf baru 2000.

Terdapat berita terbaru bahawa virus Y2K di tahun 2000 boleh menyebabkan semua komputer dan sistem elektronik kewangan riba ini kacau-bilau atau runtuh (crash) apabila tidak dapat memproses tarikh keramat 2000.

Dan satu lagi ancaman bahawa asteroid akan melanda atmosfera bumi pada tahun 2000 di mana sistem satelit komunikasi mungkin dirosakkan oleh tahi bintang halus ini.

Adakah ramalan ini satu petanda Allah mempunyai rencana yang lebih baik mengatasi rencana puak kufar mahu menguasai dunia melalui sistem riba yang dilaknati.

Akhir sekali, filasuf Nietzche meramalkan era moden akan mengalami creative destruction di barat dan passive destruction di Timur dalam bukunya Ecce Homme.

Isu penggunaan wang emas sebagai alternatif bukan sahaja kepada ringgit Malaysia atau rupiah Indonesia atau yen Jepun atau baht Thailand tetapi sebagai satu alternatif kepada sistem kewangan antarabangsa yang bebas, adil, saksama dan tiada manipulasi sesiapa.

Harga emas adalah sama di seluruh dunia dan bernilai sama ada diguna sebagai wang atau perhiasan atau simpanan kecemasan seperti yang disorokkan di Fort Knox dan Switzerland.

Saya mengucapkan syabas kepada Utusan Malaysia kerana berani serta berwawasan jauh dalam mencadangkan alternatif wang emas bagi mengatasi krisis ekonomi dan kewangan antarabangsa.

Agenda ini perlu dikaji lebih mendalam dan menggariskan panduan pelaksanaan penempatan dan mengedarkan wang emas secara sah di sisi undang-undang untuk semua rakyat memilih cara terbaik melindungi wang mereka daripada dipermainkan oleh spekulator.

Wang emas bukan menggantikan wang kertas tetapi sebagai wang kedua sehingga sistem antarabangsa dapat menerima perubahan ini demi kebaikan semua negara dan manusia sejagat.

ABU ZUHRI SHIN, Gombak, Kuala Lumpur

 

DINAR EMAS

oleh : Prof Madya Dr Hj. Zuhaimy Hj. Ismail (77)

UTM, Skudai, Johor Darul Takzim

zuhaimyi@yahoo.com

Prof Madya Dr Zuhaimy Hj Ismail adalah bekas pelajar SEMSAS batch 1977 yang kini bertugas di UTM, Skudai. Beliau merupakan salah seorang dari pelopor urusniaga dinar emas di negara ini.
Penggunaan dinar emas elak kekayaan negara dieksploitasi

PADA zaman moden ini, dinar emas dan dirham perak yang pertama ditempah orang Islam Eropah di Granada, Selatan Sepanyol 30 tahun lalu.

Mereka adalah bangsa Eropah yang memeluk Islam dan memilih untuk hidup serta berpegang kepada ajaran Islam sepenuhnya. Mereka mencari mata wang Islam, pasar Islam, saudara Islam dan bertanyakan amalan perdagangan mengikut Islam.

Ketika umat Islam mencari kesahihan amalan Islam, mereka memperkenalkan dinar emas dan dirham perak sebagai asas urus niaga di kalangan mereka dan daripada situlah bermula usaha mengembalikan sejarah penggunaan dinar emas dan dirham perak.

Dinar emas dan dirham perak tidak terikat dengan mana-mana negara. Ia diperbuat daripada emas dan perak serta tidak boleh susut nilai beratnya atau ditokok beratnya dengan dikenakan faedah. Tidak seperti wang kertas yang sentiasa terikat dengan faedah atau riba.

Profesor Roy Jastram dari Universiti Berkeley, Amerika Syarikat (AS) dalam bukunya The Golden Constant, menjelaskan bahawa hasil kajian mengenai perubahan harga emas terhadap beberapa komoditi utama selama empat tahun sehingga 1976, mendapati harga emas tidak banyak berubah, malah boleh dikatakan tetap.

Dinar emas diukur mengikut timbangan 4.25 gram emas. Ukuran timbangan ini tetap walau apa yang berlaku sama ada krisis ekonomi, gempa bumi dan bangunan runtuh, timbangan berat dinar emas tetap tidak berubah.

Bagaimana pula dengan sistem mata wang dunia sekarang? Sistem mata wang dunia kini tidak ada ikatan dengan emas, tidak disandarkan kepada suatu persetujuan politik atau sebarang perbahasan yang mantap.

Sistem mata wang hari ini terhasil daripada peristiwa pada akhir tahun 60-an apabila perjanjian Bretton Woods dibatalkan kerana AS mengalami muflis. AS telah mencetak terlalu banyak dolar dan mengeksport wang kertas mereka ke luar negara.

Pada 1968, Presiden Charles De Gaulle memberitahu Menteri Kewangannya bahawa Perancis tidak boleh lagi menerima inflasi yang dieksport dari AS, membenarkan dolar AS membanjiri Paris dan beberapa negara Eropah lain.

Pemimpin Perancis itu mengarahkan supaya semua dolar yang ada dalam negara itu dipulangkan balik kepada AS dan menukarkannya dengan emas. Maka berlakulah suatu keadaan di mana ramai berebut-rebut untuk mendapatkan emas dengan menukarkan wang kertas dolar AS.

Jika ini berlaku, patutkah kita masih mahu berpegang kepada wang kertas tanpa sandaran ini dan sudah pasti tidak ada siapa yang mahu ketinggalan, sebaliknya semua berebut untuk mendapatkan emas mereka. Dalam masa dua bulan, 60 peratus daripada emas dalam simpanan di Fort Knox AS lesap.

Seperti biasa AS mengambil jalan melanggar undang-undang kontrak iaitu menghukum mereka yang menukar dolar AS kepada emas. Mereka didakwa melanggar hak asasi manusia untuk memiliki emas atau komoditi yang berharga.

Selepas itu, bank pusat di seluruh dunia dilarang menukar dolar AS dengan emas. Seperti yang kita ketahui, pada 1969 De Gaulle dilucutkan jawatan dan diganti oleh Georges Pompidou dan dengan kerjasama Willi Brandt telah membentuk dasar pertama ke arah mewujudkan mata wang bagi Eropah iaitu euro.

Apa yang dilakukan oleh De Gaulle membawa kepada terhapusnya ikatan wang kertas dolar AS kepada emas pada 1971.

Selepas itu, dunia memasuki era mata wang apungan. Ini membuka ruang ekploitasi oleh negara besar dengan ekonomi yang besar terhadap negara kecil. Mereka mencetak kertas tanpa sandaran emas ditukar dengan kekayaan sebenar seperti minyak, rempah, kayu jati, gas dan sebagainya.

Tetapi jika kita ke negara mereka, ringgit kita dikatakan hanya sekeping kertas dan seringgit kita tidak boleh membeli setin Coca Cola di New York.

De Gaulle menyatakan bahawa keistimewaan dolar dan AS dalam mencetak wang kertas adalah sesuatu yang melampau. Robert Mundell, seorang pemenang Anugerah Nobel menyuarakan keperluan diwujudkan mata wang komoditi.

Profesor Deutche dari Jerman juga menyatakan bahawa ekonomi dunia kini memerlukan mata wang komoditi untuk mewujudkan suatu sistem ekonomi yang stabil dan mangsa yang terbaru yang kita tahu adalah Argentina.

Negara itu yang kaya dengan bahan mentah, tetapi telah mengikuti telunjuk Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan mengikat wangnya dengan dolar AS. Perhatikan bahawa ikatan kepada dolar AS pun tidak selamat walaupun dinasihati oleh IMF.

 

 

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s